HAKIKAT ZIKIR MENURUT SYEIKH ABDUL QADIR AL JILANI

SEJARAH SYEH ABDUL QODIR

Diposting pada

السلام عليكم

Sejarah Ringkas Sheikh Abdul Qadir Jailani

Ibu bapa Beliau

Sayyid Abu Muhammad Abdul Qadir lahir di Naif dalam daerah Jilan di negara Parsi. Beliau lahir dalam bulan Ramadhan 470 Hijriah bersamaan dengan 1077 Masihi lebih kurang. Nama bapanya ialah Abu Soleh, seorang yang taat kepada Allah dan keturunan imam Hassan iaitu anak kepada yang tertua bagi Saidina Ali saudara sepupu Nabi besar Muhammad s.a.w. dan bagi Fatimah anak perempuan Nabi.

Ibu beliau ialah seorang anak perempuan kepada orang yang taat kepada Allah – Abdullah Saumi – keturunan imam Husin, anak kepada Ali dan Fatimah. Oleh yang demikian Sheikh Abdul Qadir Jilani ialah keturunan Hassan dan juga Hussin.

Permulaan Hayatnya

Dari semenjak kecil lagi beliau adalah seorang yang pendiam dan bersopan santun. Beliau suka bermenung sambil berfikir dan sangat cenderung kepada mistik (pengalaman kerohanian). Setelah umur beliau meningkat 18 tahun, beliau makin dahagakan ilmu dan ingin bersama-sama dengan orang-orang saleh. Ini membuat beliau ingin pergi ke Bagdad, yang pada masa itu menjadi pusat pengajian dari berbagai-bagai jenis.

Beliau telah diberi gelaran “Ghaust al azim” (wali Allah yang paling agung). Menurut istilah orang-orang shufi ghaust itu dibawah peringkat nabi-nabi dalam pangkat kerohanian dan dalam menyampaikan rahmat Allah dan kurnia Nya kepada manusia. Ada juga orang zaman sekarang ini yang mengatakan beliau itu adalah dalam peringkat siddikin sebagaimana yang dikatakan oleh Quran bagi orang-orang seperti itu.
Adalah dikatakan bahawa semasa beliau hendak pergi ke Bagdad, ibunya telah memasukkan 80 keping wang emas dalam bajunya dan di jahit dibawah ketiaknya. Sebelum berangkat pergi ibunya yang warak itu telah menasehati beliau supaya jangan berbohong walau dalam keadaan apa sekali pun. Beliau berjanji tidak akan berbohong.

BACA JUGA:  7 KAROMAH SUNAN KALIJAGA YANG JARANG DIKETAHUI ORANG

Beliau pun pergilah menurut satu kafilah yang hendak pergi ke Bagdad. Di tengah jalan iaitu ditempat bernama Hamdan, kafilah itu telah diserang oleh sekumpulan penyamun. Penyamun itu tidak mengindahkan Abdul Qadir kerana rupanya yang seperti orang miskin sahaja. Tetapi datang seorang penyamun bertanya kepada beliau samada beliau ada wang. Abdul Qadir teringat pesanan ibunya supaya jangan berbohong. Lantas beliau berkata, “Ya, aku ada 80 keping wang emas dijahit dalam bajuku oleh ibuku”. Penyamun itupun terkejut melihat Abdul Qadir bercakap dengan terus terang. Mereka terkejut melihat ada orang yang berterus terang dan tidak mahu berbohong.

Mereka bawa Abdul Qadir berjumpa dengan ketua mereka dan beliau di soal begitu juga. Abdul Qadir menjawab seperti tadi juga. Ketua penyamun itu memerintahkan baju beliau dibuka . Apabila baju itu dibuka, maka benarlah ada 80 keping wang emas dalam baju itu. Sangatlah hairan ketua penyamun itu. Ia pun bertanya kenapa beliau sangat bercakap benar.

Abdul Qadir pun menceritakan perkara beliau dengan ibunya itu dan pesanan ibunya itu supaya jangan bercakap bohong. Kata beliau lagi sekiranya dalam permulaan jalan menuntut ilmu agama itu beliau bercakap bohong, maka kemungkinan ilmu agama yang sebenarnya dicarinya itu tidak akan didapati dengan memuaskan hati.